CeritaSekupang

Walaupun cuma sekupang tetapi ianya berharga

Iklan .

a

SEMBAHYANG ADALAH BERAT

assalamualaikum
Solat 5 waktu itu kalau dipandang sepintas lalu secara lahirnya tidaklah berat sangat, kerana bacaannya tidaklah terlalu panjang dan menyusahkan menghafalnya. Masa untuk mengerjakannya pun tidak memakan masa terlalu lama , setakat 15- 20 minit saja. Di antara satu waktu ke satu waktu ada ruangan untuk rehat atau bekerja dan boleh juga dikerjakan di mana-mana. Di mana saja ada kesempatan. Tidak mesti dikerjakan di masjid. Tidak memerlukan ruang yang banyak. Bahkan di dalam pengalaman di dalam mengerjakan solat tidaklah sampai meletihkan dan menyusahkan. Tetapi mengapa Allah Taala menyampaikan melalui Al Quran bahawa solat itu adalah berat. Firman Allah ertinya : ” Sesungguhnya solat itu adalah sangat berat kecuali orang yang khusyuk.”

Khusyuk yang dimaksudkan di sini ialah orang mukmin yang jiwa dan tauhidnya mendalam. Hingga dengan itu jiwa dan rasa kehambaannya begitu kuat iaitu rasa berTuhan itu benar-benar memnuhi hati dan perasaan mereka dan rasa itu tidak lekang hingga dibawa ke mana-mana. Hamba Allah yang seumpama dengan ini , rasa cintanya kepada Tuhan atau rasa takut dengan Tuhan menguasai jiwa, fikiran dan perihal mereka. Maka sudah tentulah mereka itu mudah mengerjakannya serta dapat melaksanakan kehendak solat itu di dalam kehidupan mereka itu. Bahkan mereka rindu dengan solat, seronok mengerjakannya kerana dengan solat mereka dapat bercakap dengan Tuhannya, mengadu, meminta, mengharap, membesarkan, mensucikan, memuja, merindui, melaksanakan segala perasaan yang terbuku iaitu memohon ampun dan maaf. Mereka yang hatinya khusyuk itu, bahawa solat itu memang selalu ditunggu, dari satu waktu ke satu waktu. Di dalam Islam diistilahkan ‘ Muraqobah’. Kerana itulah mereka hendak bercakap dengan Tuhan di dalam solat fardhu, mereka membanyakkan solat sunat. Di sanalah mereka meluahkan perasaan rindu dan segala perasaan hati. Mereka rasa tenang dan senang selepas solat kerana segala pengaduan telah dipanjatkan kepada Tuhan. Walau bagaimanapun, bercampur rasa bimbang itu memang ada, ditakuti solat tidak diterima, permohonan tidak dikabulkan, pengiktirafan dianggap dusta.

BERATNYA SOLAT ADA 3 PERINGKAT

Bagi orang Islam yang hatinya tidak khusyuk iaitu hubungan hati dengan Tuhan tidak kuat/terputus sama sekali, sudah tentulah rasa berTuhan tidak wujud. Kesedaran berTuhan itu tidak ada di dalam fikiran dan jiwa mereka. Kalau begitu sudah tentulah rasa cinta atau takut dengan Tuhan tidak ada. Orang Islam yang begini sudah tentulah terasa berat mengerjakan solat. Terasa membeban dengan solat. Orang begini tak tahu hendak menunggu solat. Selain solat lebih lagilah. Apabila khusyuk dengan Tuhan tidak ada, tentulah ada perkara lain yang
kita jiwai dan hayati. Ada perkara lain yang kita besarkan dan agungkan. Ada perkara lain yang mendarah daging yang menjadi otak dan jiwa kita. Mungkin banyak, mungkin sedikit. Mungkin harta kekayaan, anak isteri, jawatan dan pangkat. Glamour dan nama, bahkan mungkin juga kesusahan yang menimpa kita ini yang menjadi otak dan jiwa kita. Ertinya, kesusahan itulah yang menghantui dalam fikiran dan jiwa kita. Mungkin semuanya sekali.Orang yang begini sikapnya sudah tentu amat berat dengan sembahyang. Susah dengan sembahyang.Sembahyang dirasakan beban yang berat, sembahyang mengganggu kehidupan mereka. Oleh yang demikian sudah tentu tidak larat membuatnya, dalam sembahyang dia akan ingat perkara yang dijiwainya. Fizikal/jasadnya sembahyang, fikiran dan hatinya tidak sembahyang.

BERATNYA PERINGKAT PERTAMA

” Sebelum mengerjakan solat“

1. Apabila Tuhan tidak dijiwai atau rasa berTuhan sudah lemah, waktu bekerja sudah tentu sayang hendak meninggalkan kerja. Tertinggallah solat atau qadha’ saja. Ketika mengerjakan solat terseksa rasanya.

2. Apabila sedang bersuka ria dengan anak isteri dan mereka itulah yang dijiwai, maka berat pula hendak mengerjakan solat. Tertinggallah solat atau melewatkannya. Kalau buat pun bukannya dari hati.

3. Apabila sedang bermesyuarat dan kita jiwai dan kita anggap besar maka solat dianggap kecil, tertinggal solat atau qadha’ saja. Dan sudah tentu tidak khusyuk kerana hati bukan pada solat.

4. Apabila sedang berkelah dan berseronok dengan kawan, dan pemandangan kita jiwai . Sudah tentulah solat tidak diambil kira, tinggal terus atau qadha’ saja.

5. Apabila sibuk dengan kenduri kendara kita jiwai kenduri itu, solat dilupakan terus atau qadha’ saja. Itu pun terasa terpaksa.

6. Waktu musafir lagi-lagilah badan letih, pemandangan apa saja yang dililhat dan dirasa mempesona. Hendak mengerjakan solat tentulah berat. Tinggallah saja atau qadha’. Waktu membayarnya tidak dari hati. Hendak cepat saja.

7. Apabila jiwa berTuhan lemah atau tidak ada, kalaupun boleh bermujahadah, dapat juga mengerjakan solat tapi terasa sangat terlalu berat, sembahyang tidak dapat dijiwai dan terasa berat. Solat pun hendak cepat saja. Lebih-lebih lagilah terasa berat hendak melaksanakan ikrar dan tuntutan solat itu di luar solat sudah tentu tidak boleh menunaikannya kerana Tuhan dan syariat Tuhan itu belum dijiwai lagi. kalau begitu, tidak hairan orang yang mengerjakan solat masih terlibat dengan maksiat, kemungkaran, tipu, rasuah, zina,curi, merompak, pergaulan bebas, menzalimi, judi dedah aurat dan juga tidak hairan orang yang solat masih rosak seperti memfitnah, mengumpat , menghina, berdusta, mengadu domba, bercakap kotor dan lucah, bakhil, tamak, pemarah, sombong, riak, suka nama, glamour. walaupun mereka solat, hakikatnya mereka tidak solat. jadi jelaslah bagi orang yang tidak khusyuk iaitu yang tidak berjiwa tauhid, hanya setakat berfikir tauhid sahaja, sudah tentulah amat berat dengan solat kecuali orang yang khusyuk.

BERAT PERINGKAT KEDUA

“DI DALAM SEMBAHYANG“

Katalah seseorang itu boleh juga mengerjakan solat sama ada pada awal waktu atau di akhir waktu atau qadha’ saja sama ada solat berseorangan atau berjemaah. Apabila jiwa tauhid lemah atau rasa berTuhan sudah tidak ada ertinya rasa khusyu’ dengan Tuhan sudah tidak ada maka mengerjakan solat itu rasa terpaksa, berat, jemu, solat hendak cepat sahaja, gopoh-gapah sahaja, tidak sabar/berlambat dan bertenang, lebih lagi tidak sabar hendak memahami dan menghayati setiap perkataan dan lafaz yang dibaca, akhirnya membaca tanpa jiwa dan roh. Tarikan dunia lebih mempengaruhi jiwa dan fikiran, maka pada waktu itu yang sudah datang itu ialah kerja duia kita, urusan dunia kita, mengingat nasib apakah yang akan berlaku di dunia ini. Maka melayanglah fikiran kita, kosonglah jiwa kita daripada mengingati Allah di waktu solat itu. Oleh kerana itulah mengerjakan solat terasa penat,berat, menjemukan kecuali orang yang khusyuk.Kalaulah tidak dipupuk lagi jiwa tauhid, lama kelamaan boleh berhenti sembahyang. Lebih lagi setelah bertabah sibuk dengan kerja dan urusan dunia atau melayan orang ramai kerana urusan dunia yang sementara itu.

BERAT PERINGKAT KETIGA

“MENUNAIKAN IKRAR DAN TUNTUTAN SEMBAHYANG“

Peringkat ketiga ini adalah menunaikan ikrar dan tuntutan di dalam sembahyang. Ini lebih lagi amat berat melaksanakannya. Sebagaimana yang kita maklum bahawa waktu kita mengerjakan sembahyang itu berbagai janji dan ikrar telah kita buat di hadapan Tuhan. Di antara ikrar dan janji kita itu adalah kita berikrar menyembah dan meminta pertolongan denganNya, membesarkannya, meminta kepadaNya ditunjukkan kepada jalan yang lurus iaitu jalan para rasul, bukan jalan orang-orang yang sesat. Berjanji ingin hidup mengikut syariat Tuhan di dalam segala hal dan perilaku. Di dalam seluruh sistem kehidupan bermasyarakat, berekonomi, berhubung, berpolitik, bernegara, mentadbir dan lain-lain lagi. Di dalam sehari semalam 5 kali kita berikrar dan janji kepada Tuhan. Setiap kali kita berikrar dan berjanji lagi. Ikrar dan janji yang sama. Begitulah diulang-ulang kita berjanji kepada Tuhan. Bagi orang yang khusyuk kepada Tuhan iaitu yang berjiwa tauhid amat takut dan bimbang sungguh. Justeru itulah mereka selepas solat bersungguh-sungguh mengendalikan kehidupan di dalam semua aspek mengikut Al Quran dan sunnah Rasul SAW. Di dalam menunaikan janji itu mereka tetap takut. Di dalam bersungguh-sungguh melaksanakan janji di dalam seluruh kerja dan usaha mereka namun mereka senantiasa bimbang kalau janji tidak dapat ditunaikan.

Begitulah sikap orang yang khusyuk. Berlainan sekali bagi orang yang tidak khusyuk atau yang tidak berjiwa tauhid. Janji hanya tinggal janji. Di dalam sembahyang berdusta selalu dengan janji. Setiap kali berjanji di dalam solat ,kemudian berbohonglah di luarnya. Solat orang yang tidak khusyuk, selalu sahaja mengkhianati janji dengan Tuhan. Sudahlah begitu, banyak janji kepada Tuhan tidak ditunaikan. Namun tidak pernah merasa takut, bimbang/ kesal. Bahkan melupakan begitu sahaja perbuatan tidak menunaikan janji itu. Tidak seperti orang yang khusyuk bahawa sudah sungguh-sungguh pun menunaikan janji kepada Tuhan namun hatinya senantiasa takut kepada Tuhan. Seolah merasa belum menunaikan janji. Mereka yang tidak khusyuk terasa berat hendak tunaikan janji kepada Tuhan, kerana pautan dengan Tuhan sudah tidak ada atau sudah tpis. Tarikan kepada Tuhan sudah lemah. Justeru it tarikan dunialah yang merangsang mereka. Oleh yang demikian melaksanakan kehendak, nafsu dan syaitan itulah yang ringan bagi mereka memperjuangkannya.

Kehendak Allah walaupun telah berjanji itupun sangat berat memperjuangkannya. Oleh yang demikian tidak hairanlah berjanji hendak menyembah dan membesarkan Tuhan tetapi dalam kehidupan menyembah dan membesarkan harta, betina, pangkat, pemimpin, bintang filem. Berjanji semua aspek kehidupannya mengikut syariat Allah tetapi yang diikuti adalah fikiran, ideologi, isme, teori akal. Mereka yang tidak khusyuk solat tidak ada hubungan dengan kehidupan, tidak ada hubungan dengan masyarakat, ekonomi, politik , kebudayaan, perlembagaan negara dan lain-lain.


wassalam...

0 pendapat bernas: