CeritaSekupang

Walaupun cuma sekupang tetapi ianya berharga

Iklan .

a

RUKUN HATI KETIKA SOLAT

assalamualaikum...hari ini aku jumpa satu lagi artikel yang menarik kat web ini...

Dalam solat atau sembahyang itu ada berbagai jenis rukun.
Ada rukun fe’li atau perbuatan. Ada rukun qauli atau
lafaz dan bacaan. Ada rukun kalbi atau hati.
Rukun fe’li termasuklah qiam atau berdiri tegak, rukuk,
sujud, duduk antara dua sujud dan duduk tahiyyat akhir.
Rukun qauli pula termasuklah takbiratul ihram, bacaan suruh
Al Fatihah, bacaan tahiyyat akhir dan salam. Rukun kalbi atau
hati pula ialah niat.

Namun demikian, kerja hati di dalam solat tidaklah terhenti
setakat niat sahaja. Kerja hati dalam solat banyak dan umumnya
lebih rumit dan lebih berat dari kerja anggota lahir atau
jawarih dan lidah. Termasuk kerja hati ialah tawadhuk, khusyuk
dan khuduk walaupun ia tidak termasuk dalam rukun
solat.

Tawadhuk ialah merendahkan diri, merendahkan hati atau
merendahkan “sayap” ke hadrat Allah Taala yang disembah.
Merasakan diri kecil dan kerdil di hadapan Allah. Merasakan
diri hamba yang sebenar-benar hamba tanpa ada rasa “tuan”
di dalam hati. Supaya di dalam solat itu hanya ada dua entiti.
Satu ialah Tuhan yang disembah, dipuja dan diagungkan.
Kedua ialah hamba yang hina dina yang menyembah, yang
memuja dan mengagungkan Tuhan dan bukan tuan, bukan
raja, bukan sultan, bukan Tun, bukan Tan Sri dan sebagainya.
Khusyuk ialah rasa-rasa yang timbul di hati semasa solat.

Orang yang khusyuk di dalam solat ialah orang yang mengalami
dan merasakan berbagai-bagai rasa hasil dari penghayatan
dan penjiwaan apa-apa yang dilafaz dan dibacanya.
Rasa-rasa ini boleh jadi rasa-rasa bertuhan seperti merasakan
bahawa Allah itu Maha Hebat, Maha Pemurah, Maha Pengampun,
Maha Berkuasa, Maha Perkasa, Maha Mengetahui dan
sebagainya ataupun rasa-rasa kehambaan seperti rasa bimbang,
takut, cemas dan gerun terhadap Allah, bergantung
harap, rasa cinta, rasa bersalah dan berdosa, rasa hina di sisi
Allah dan sebagainya.

Khuduk pula ialah ketaatan dan penyerahan diri secara
total kepada Allah. Merasakan bahawa dirinya adalah hak
kepunyaan Allah dan terpulanglah kepada Allah untuk berbuat
apa sahaja terhadap dirinya. Menyerahkan dirinya kepada
Allah seperti mana bayi yang baru lahir menyerahkan dirinya
kepada ibunya. Terpulanglah kepada ibunya sama ada akan
memandikannya, membedungnya, menyusukannya ataupun
tidak. Si bayi tidak ada apa-apa daya dan kuasa ke atas dirinya
sendiri. Ataupun seperti mayat yang menyerahkan dirinya kepada
pengurus mayat. Terpulanglah kepada pengurus mayat
itu hendak berbuat apa sahaja kepadanya. Si mayat tidak ada
daya atau kuasa untuk membantah atau menghalang.
Rukun seperti rukun fe’li, qauli dan kalbi seperti niat perlu
dijaga kerana ia bersabit dengan sah atau batalnya solat.
Namun begitu, kerja dan amalan-amalan hati yang lain di
dalam solat seperti tawadhuk, khusyuk dan khuduk ini sama
pentingnya kerana tanpa amalan-amalan hati ini, solat kita
terputus dari Allah walaupun pada zahirnya solat kita sah.
Ada hadith yang berbunyi:

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada gambaran lahir kamu tetapi Allah melihat kepada hati-hati dan amalan-amalan kamu.”

Solat yang tanpa amalan-amalan hati tidak akan dapat
mendidik kita, tidak akan dapat membersihkan sifat-sifat
mazmumah yang bersarang di hati kita, tidak akan dapat
mengembalikan fitrah kita kepada keadaan asal semulajadinya
yang suci murni, tidak akan dapat membangunkan insaniah
kita dan tidak akan dapat mencegah kita dari yang keji dan
yang mungkar.

mari sama-sama kita meningkatkan kualiti solat kita...wassalam...