Assalamualaikum.
Beberapa hari lepas cs bersukan selepas hampir setengah tahun berehat. Bersukan dan panaskan badan memang sesuatu yang sangat berkait antara satu sama lain. Setiap perkara yang dilakukan pasti ada kebaikannya jika dilakukan dengan betul dan keburukan jika salah melakukannya.
Jadi apa yang berlaku ialah cs tidak memanaskan badan sebelum bersukan dan akibatnya semasa menaik dan menurun tangga urat rasa terkejang. Tapi selepas 2-3 hari kekejangan itu sudah mula berkurangan . Seperti juga kenderaan, kita perlu memanaskan diri dulu sebelum melakukan aktiviti yang berat. Kenderaan jika tidak dipanaskan enjin, ianya akan membawa kesan yang buruk pada jangka masa panjang.
Faktor utama memanaskan badan ialah untuk melindungi otot, tendon dan ligamen terkoyak ketika pergerakan regangan yang kasar. Ini penting terutama bagi aktiviti seperti membaling dan menendang bola yang memerlukan pelbagai gerakan. memanaskan badan juga meningkatkan pengaliran darah melalui tisu lembut dengan melebarkan saluran darah dan hasilnya, suhu meningkat dan anggota badan menjadi lebih lembut.
Sama seperti kesan buruk yang dialami apabila tidak memanaskan badan, berhenti secara tiba-tiba selepas melakukan senaman juga merbahaya. Ambil sedikit masa untuk menyejukkan otot secara teratur untuk mengelakkan kekejangan dan mengurangkan kesakitan otot. Menyejukkan badan menyebabkan rerambut otot menutup dan menghalang darah `berkumpul' yang boleh membawa kepada penurunan tekanan darah secara tiba-tiba.