CeritaSekupang

Walaupun cuma sekupang tetapi ianya berharga

Iklan .

a

Kebaikan dan Keburukan Root Android


Assalamualaikum. 
Seminggu lepas merupakan pengalaman kali pertama cs "root" dan upgrade peranti android. Secara ringkasnya root ini adalah satu proses untuk memberikan pengguna smartphone untuk akses penuh untuk membuat sebarang perubahan terhadap sistem di dalam smartphone kita..kebanyakan sistem di dalam smartphone kita telah dikunci oleh pengeluar masing-masing.







Pengeluar mengunci sistem tersebut adalah untuk menjaga fungsi-fungsi yang telah disetkan. Sekiranya tidak dikunci ditakuti pengguna akan tersilap memasuki sistem ni dan secara tidak sengaja meminda sistem tersebut. Ini boleh menjadikan smartphone tersebut tidak dapat berfungsi dengan baik. 

Setiap perkara yang dilakukan pasti ada kelebihan dan kekurangan tersendiri. Antara kebaikan root peranti android ialah  :

- Keupayaan smartphone akan menjadi lebih pantas dan laju. 


-  Boleh membuang aplikasi yang tidak digunakan dalam smartphone untuk mengurangkan internal memory dan meminimakan penggunaan RAM.


- Pengguna dapat menginstall aplikasi yang melibatkan root seperti Titanium backup. 
Aplikasi ini adalah untuk back up segala sistem dan aplikasi dalam smartphone. Sekiranya berlaku kerosakan pada peranti, maka pengguna boleh restore semula sistem dan aplikasi yang telah di buat back up.




Proses Root (Software SuperOneClick)



Manakala kekurangan root peranti android pula ialah :


 - Boleh menghilangkan waranti .
Sekiranya pengguna membuat root kepada smartphone tersebut satu perkara yang paling mustahak perlu diketahui adalah waranti smartphone tersebut akan hilang. Ini kerana pihak pengeluar tidak akan memberi jaminan kepada peranti yang telah diusik sistemnya sekiranya rosak.


 - Serangan virus   
Adalah dikhabarkan sekiranya pengguna membuat pengubahsuaian terhadap sistem ianya boleh menjadi terdedah kepada serangan virus. Walau bagaimanapun perkara ini masih menjadi perdebatan kerana sebenarnya serangan virus turut boleh menyerang kepada mana-mana peranti walaupun proses root tidak dijalankan.


Sebelum Root (ROM asal Eclair 2.1)




 Root android merupakan impian cs sejak mengetahui pasal ini pada awal tahun lepas tetapi tidak melakukannya kerana tidak mahu waranti peranti cs hilang. Jadi selepas setahun berlaku, walaupun belum habis waranti tetap melakukannya. Jadi selepas meminta nasihat dari geng android dan melihat tutorial cs memulakan proses root smartphone. 




Selepas Root  Dan Install Rom (menggunakan ROM froyobread 2.2.9)


Alhamdulillah semua berjalan lancar dan smartphone cs berjaya dirootkan. Apa yang melambatkan proses ini adalah pemilihan ROM kerana terdapat terlalu banyak rom untuk android yang cs gunakan. Kepada yang ingin root smartphone anda, teruskan saja tapi sebelum itu perlu study dulu sedikit sebanyak mengenai cara dan kesan root ini. :D



Fakta Menarik Mengenai Geografi Bumi


Assalamualaikum. 
Geografi ialah kajian tentang lokasi, taburan, kekerapan dan interaksi semua unsur penting manusia dan alam sekitar di permukaan Bumi dan apa yang ada di atasnya. Dua bidang utama dalam geografi ialah geografi fizikal yang menumpukan pada sains bumi, dan geografi manusia yang memfokuskan kepada sains sosial ataupun aspek bukan-fizikal. Berikut merupakan antara fakta yang menarik mengenai geografi bumi.








1 - Delta Danube merupakan delta Eropah terbesar dan paling terpelihara selepas Delta Volga.


2 - Tasik Tanganyika merupakan tasik air tawar kedua terbesar dan kedua terdalam di dunia.


3 -  Empat mata angin utama ditentukan mengikut kutub dan arah putaran Bumi.


4 -  Laut Mati merupakan kawasan paling rendah di dunia yang tidak dilitupi ais, dan juga merupakan laut/tasik termasin di dunia.
 

5 -  Sistem koordinat geografi membenarkan setiap lokasi di dunia ditentukan oleh tiga koordinat.

6 - Sungai Nil adalah sungai yang terpanjang di dunia, tetapi bukan yang terbesar.

  




Sungai Nil





7 - Hemisfera utara mempunyai 90% dari jumlah penduduk bumi.


8 -  Masa di Kutub Selatan mengikut zon masa New Zealand.


9 -  Air terjun Angel di venezuela adalah air terjun jatuh-bebas tertinggi di dunia dengan ketinggian 979 meter.




Air Terjun Angel





10 -  Walaupun Peta berbentuk statik dua dimensi, boleh menggambarkan dengan tepat secara geometri ruang tiga dimensi.


11 - Dataran Tiananmen merupakan dataran bandar terbuka yang terbesar di dunia.


12 -  Sungai Amazon adalah sungai yang terbesar di dunia berdasarkan jumlah air.


13 - Lebih 60% tasik di dunia ini terletak di Kanada.


14 - Air terjun Niagara sebenarnya terdiri daripada tiga buah air terjun.


15 -  Tasik-Tasik Besar membentuk kumpulan tasik air tawar terbesar di dunia.




Akal Dan Nafsu


Assalamualaikum.
Akal bermaksud sesuatu yang digunakan untuk berfikir dan membuat pendalilan dan
Nafsu bermakna keinginan, kecenderungan atau dorongan hati yang kuat. Ini merupakan scerita mengenai perihal  akal dan nafsu semasa mengadap Allah s.w.t.

Dalam sebuah kitab karangan 'Ustman bin Hasan bin Ahmad Asy-Syaakir Alkhaubawiyi, seorang ulama yang hidup dalam abad ke 13 Hijrah, menerangkan bahawa sesungguhnya Allah S.W.T telah menciptakan akal, maka Allah S.W.T telah berfirman yang bermaksud :

Dalam sebuah kitab karangan 'Ustman bin Hasan bin Ahmad Asy-Syaakir Alkhaubawiyi, seorang ulama yang hidup dalam abad ke 13 Hijrah, menerangkan bahawa sesungguhnya Allah S.W.T telah menciptakan akal, maka Allah S.W.T telah berfirman yang bermaksud : "Wahai akal mengadaplah engkau." Maka akal pun mengadap kehadapan Allah S.W.T., kemudian Allah S.W.T berfirman yang bermaksud : "Wahai akal berbaliklah engkau!", lalu akal pun berbalik.
 

Kemudian Allah S.W.T. berfirman lagi yang bermaksud : "Wahai akal! Siapakah aku?". Lalu akal pun berkata, "Engkau adalah Tuhan yang menciptakan aku dan aku adalah hamba-Mu yang daif dan lemah."
 

Lalu Allah S.W.T berfirman yang bermaksud : "Wahai akal tidak Ku-ciptakan makhluk yang lebih mulia daripada engkau."
 

Setelah itu Allah S.W.T menciptakan nafsu, dan berfirman kepadanya yang bermaksud : "Wahai nafsu, mengadaplah kamu!". Nafsu tidak menjawab sebaliknya mendiamkan diri. 

Kemudian Allah S.W.T berfirman lagi yang bermaksud : "Siapakah engkau dan siapakah Aku?". Lalu nafsu berkata, "Aku adalah aku, dan Engkau adalah Engkau."
 

Setelah itu Allah S.W.T menyiksanya di neraka jahanam selama 100 tahun, dan kemudian mengeluarkannya. Kemudian Allah S.W.T berfirman yang bermaksud : "Siapakah engkau dan siapakah Aku?". Lalu nafsu berkata, "Aku adalah aku dan Engkau adalah Engkau."
 

 Lalu Allah S.W.T menyiksa nafsu itu dalam neraka Juu' selama 100 tahun. Setelah dikeluarkan maka Allah S.W.T berfirman yang bermaksud : "Siapakah engkau dan siapakah Aku?". Akhirnya nafsu mengakui dengan berkata, " Aku adalah hamba-Mu dan Kamu adalah tuhanku."
 

Dalam kitab tersebut juga diterangkan bahawa dengan sebab itulah maka Allah S.W.T mewajibkan puasa. Dalam kisah ini dapatlah kita mengetahui bahawa nafsu itu adalah sangat jahat oleh itu hendaklah kita mengawal nafsu itu, jangan biarkan nafsu itu mengawal kita, sebab kalau dia yang mengawal kita maka kita akan menjadi musnah. Jadi pada kemuliaan yang terdapat pada bulan rejab ini mari sama-sama kita meningkatkan amalan kita.


Hukum Qaza' (Mencukur Sebahagian Kepala)

Assalamualaikum.
Pernah tak korang dengar perkataan Qaza' ? Mesti ramai yang keliru dan blur bila dengar perkataan tu kan.Qaza’ ialah mencukur sebahagian rambut dan meninggalkan sebahagian yang lain. Sama ada mencukur di tengah kepala dan meninggalkan yang tepi, mencukur di tepi meninggalkan rambut di tengah atau mencukur rambut depan meninggalkan rambut belakang atau sebaliknya.

Qaza ini boleh dikatakan sudah menjadi trend. Kalau masih tak faham dengan perkataan tu rasanya ada satu cara untuk menjelaskan perkara ini , iaitu dengan menunjukan gambar rupa qaza ini.


Contoh Qaza'






 

Imam Nawawi berkata dalam kitab Raudatut Talibin:


Makruh Qaza’ iaitu mencukur sebahagian kepala samada ditempat yg berbeza atau tempat yang sama.

DALIL MAKRUH


Ibnu Umar berkata “AKu mendengar Rasulullah saw menegah dari Qaza’ :


Sesungguhnya Nabi saw melihat seorang budak mencukur sebahagian kepalanya dan membiarkan sebahagian yg lain. Nabi saw menegahnya dan berkata “ Hendaklah kamu mencukur semuanya atau membiarkan semuanya.”


Sekiranya qaza’ meniru cara agama orang kafir  ia dilarang. Ini berdasarkan hadis :

"Sesiapa yang meniru suatu kaum maka dia tergolong kaum tersebut. ” Hadis sahih riwayat Abu Daud

Jadi rasanya semua boleh faham dengan apa yang dimaksudkan dengan fesyen qaza' ini. Banyak perkara yang kita mungkin anggap hukumnya harus tetapi ia sebenarnya haram atau makruh. Jadi sebelum membuat apa-apa keputusan dan tindakan kita perlu merujuk kepada Al-quran dan Hadis terlebih dahulu. Islam merupakan gaya hidup yang sempurna dan semua perkara mempunyai garis panduan tersendiri.

Antara Keperluan Dan Kehendak

Assalamualaikum.
Keperluan dan kehendak merupakan perkara yang berbeza. Keperluan adalah sesuatu benda atau keadaan yang memang perlu untuk hidup kita.. Sebagai contoh, rumah sebagai tempat berteduh, pakaian untuk menutup aurat, makanan sebagai tenaga untuk hidup, dan sebagainya. Senang kata, keperluan ini adalah benda penting untuk kita teruskan kehidupan di bumi ini.




 Manakala kehendak pula adalah sesuatu benda itu akan jadi kehendak bila kita masih boleh teruskan kehidupan seperti biasanya walaupun ketiadaannya.. Contohnya, walaupun kita tak ada iPad tu kita masih boleh hidup dengan biasa. 






Kalau nak online sekalipun mesti ada komputer ataupun laptop kan.. Jadi, perkara sebegitu akan jadi kehendak semata-mata. Kehendak merupakan sesuatu yang tidak akan habis dilayan dan dipenuhi kerana ianya sesuatu yang tidak terbatas.




Kedua perkara ini pasti akan berkait dengan kemampuan. Jika kita mampu untuk memenuhi kehendak kita dan tanpa menyusahkan orang lain itu yang dikatakan berkemampuan. Kita perlu bijak untuk membezakan antara keperluan dan kehendak supaya kita tidak rugi.


M-A-R-U-A-H


Assalamualaikum.
Maruah merupakan salah satu sifat yang dikehendaki oleh semua agama. Setiap manusia wajib menjaga maruahnya dan juga maruah orang lain. Menjaga maruah bermaksud menjaga kehormatan diri daripada perkara-perkara yang mencemarkan nama baik seseorang.  
 
Ini adalah erti Maruah yang dapat diungkapkan  melalui ejaan M - A -R - U - A - H : 

M :- Maruah letaknya di muka. Kerana itu orang menutup muka apabila malu.

A :- Aura yang baik akan membuatkan maruah anda naik begitu juga sebaliknya.

R :- Reputasi mencerminkan maruah anda. Jagalah reputasi diri jangan sampai di pijak orang.

U :- Ungkapan orang terhadap kita menggambarkan sejauh mana maruah kita dinobatkan. Buruk ungkapan yang keluar maka buruklah maruah kita sedangkan KATA itu adalah maruah diri.

A :- Anggapan masyarakat juga mencerminkan nilai maruah kita. Oleh itu, amat penting menjaga maruah diri agar anggapan orang terhadap kita tidak serong.

H :- Harga diri tidak boleh dijual beli dan ia jua adalah lambang nilai maruah individu. Jangan sesekali meletak nilai pada harga diri anda.

Daripada Abu al-Darda' RA bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:  
Maksudnya: "Sesiapa yang mempertahankan kehormatan dan maruah saudara ketika ketiadaannya nescaya Allah s.w.t akan memelihara wajahnya daripada api neraka pada hari kiamat."   
Hadis Riwayat al-Tirmizi.

Kenali erti maruah dengan mudah. Maruah haruslah di jaga, dan harus di ingat jika sekali tercalar, ia akan meninggalkan kesan yang lama dalam kehidupan anda. Orang yang menjaga maruahnya adalah orang yang berada di landasan yang betul dan sering melakukan perkara yang betul dan baik.

Syaaban Sudah Semakin Senja


Assalamualaikum.
Sedar tak sedar kita sudah hampir ke penghujung Syaaban dan tinggal beberapa hari sahaja lagi kita akan menempuhi bulan yang penuh barakah iaitu bulan Ramadhan. Tidak dinafikan ramai daripada kita lebih menantikan bulan Syawal berbanding dengan bulan Ramadhan itu sendiri. Persiapan untuk menghadapi Syawal sudah mula dilakukan sebelum tiba bulan Ramadhan lagi tetapi bila persiapan bulan Ramadhan itu sendiri tidak dilakukan walaupun sudah tahu yang bulan Ramadhan itu lebih banyak ganjarannya dan kelebihannya berbanding bulan Syawal. 

Sebelum berakhirnya Syaaban ini mari kita semak semula persediaan yang telah dan perlu kita lakukan sebelum menghadapi Ramadhan yang penuh barakah. Sebenarnya terlalu banyak persediaan yang patut kita lakukan menjelang ramadhan. Antara yang lain ialah:


1)
Persediaan ilmu agama.

Ramai orang yang berpuasa tanpa ilmu di dada. Dikhuatiri ibadah yang diharapkan  mendapat pahala sebaliknya tidak diterima malahan mendapat dosa.  Menjelang Ramadhan, kita diseru meluangkan masa menuntut ilmu agama. Sama ada dengan cara membaca buku, menghadiri kuliah-kuliah agama atau melayari internet. Perkara yang perlu diberi keutamaan ialah berkaitan dengan ibadah puasa seperti rukun, syarat sah, perkara yang membatalkan puasa, adab dan juga akhlak orang berpuasa. Hal ini begitu penting untuk mendapat kesempurnaan ibadah puasa.


2)
Persediaan kesihatan.

Ibadah puasa melibatkan kesihatan tubuh badan. Kesihatan tubuh badan yang sempurna menjamin kesempurnaan ibadah puasa. Kecerdasan seluruh anggota badan diperlukan kerana pada bulan puasalah tubuh badan dikerah bekerja kuat melaksanakan solat sunat tarawih, qiamullail , membaca al –Quran, iktikaf dan sebagainya.
Penjagaan kesihatan ini termasuklah menjaga pemakanan yang seimbang, riadah dan menjauhkan diri dari perkara yang mendatangkan penyakit seperti tabiat merokok.


3)
Persediaan  dari sudut kewangan.

Di antara amalan yang begitu mulia dalam bulan Ramadhan ialah bersedekah. Rasulullah SAW merupakan seorang yang paling dermawan dan baginda lebih dermawan di dalam bulan Ramadhan. Hal ini diceritakan oleh Ibnu Abbas r.a:






“Rasulullah saw ialah orang yang paling dermawan. Dan beliau lebih dermawan lagi di bulan Ramadhan di saat beliau bertemu Jibril. Jibril menemuinya setiap malam untuk mengajarkan Al- Quran. Dan kedermawanan Rasulullah SAW melebihi angin yang berhembus.” (HR. Bukhari)

Bagi mendapat kelebihan  bulan Ramadhan , kita juga harus menangguhkan sedekah  pada bulan-bulan  lain semata-mata untuk disedekahkan pada bulan Ramadhan dengan syarat ia bukanlah sedekah yang dihajati seperti orang fakir miskin yang memerlukan  dan orang dalam keadaan susah dan berhutang.


4)
Memperbanyak menyebut hal berkaitan kelebihan dan kemuliaan Ramadhan.

Di antara persiapan lain yang perlu ada ialah memperbanyakkan bercerita tentang kemuliaan bulan Ramadhan. Hal ini bertujuan memberi rangsangan dan semangat kepada kita untuk membuat persediaan bertemu Ramadhan. Bukankah sesuatu acara itu akan menjadi lebih meriah dan suasananya dapat dirasai jika diwar-warkan. Contoh mudah, bagaimanakah perasaan kita di saat diwar-warkan  sesuatu sambutan yang besar, seperti Piala Dunia Bola Sepak. Pada ketika itu seluruh saluran media hebat membuat promosi. Kesannya seluruh masyarakat dunia termasuk rakyat Malaysia ternanti-nanti dan merasai bahang temasya tersebut. Apatah lagi bulan yang begitu mulia ini sepatutnya lebih layak disebut-sebut  kemulian dan ganjarannya oleh media massa dan seluruh umat Islam.

Semoga dengan kita dapat bertemu dengan Ramadhan yang akan datang dengan ilmu yang penuh dan mencukupi untuk menjadikannya Ramadhan yang terbaik buat kita kerana kita tidak tahu adakah kita masih mampu bertemu dengan Ramadhan yang akan datang di alam dunia atau di alam yang lain.

Blog vs Vlog

Assalamualaikum.
Blog adalah merupakan jurnal online yang digunakan untuk melontarkan pendapat peribadi, atau penulisan mengenai sesuatu perkara, dan sentiasa dikemaskini setiap hari. Konsep blog adalah sama seperti buku diari harian. Contoh blog yang anda boleh gunakan secara percuma adalah blogspot, blog.com dan juga wordpress. 





Vlog ialah blog video. Ianya merujuk kepada satu blog yang dimuat naik dalam bentuk video. Vlog adalah paparan video tentang diri anda atau satu acara/aktiviti yang dimuat naik di Internet dan diposkan di blog anda. Contoh tempat untuk memuat naik blog video anda boleh menggunakan youtube dan juga vimeo. 








Blog atau Vlog masing-masing mempunyai kelebihan dan kekurangannya tersendiri. Apabila berblog kita hanya perlu mengolah idea yang hadir dengan hanya menaip. Berblog juga tidak memerlukan banyak kerja lain misalnya jika bervlog kita perlu merakam dan mengedit yang mungkin akan mengambil masa yang lebih berbanding dengan berblog.







Mesej yang disampaikan didalam vlog mungkin akan lebih mudah sampai berbanding berblog kerana pada pendapat cs, imej lebih muda diproses oleh manusia berbanding dengan perkataan dan huruf. Masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri, sesetengah orang mungkin tidak berkebolehan untuk bercakap dihadapan kamera seorang diri dan lebih berkebolehan untuk menulis. Apa yang penting ialah dengan mencari kelebihan masing-masing jangan terikutkan dengan orang lain. 

Peristiwa Penting Bulan Syaaban


Assalamualaikum.
Sekejap sahaja rasanya masa berlalu, sudah tiba bulan Syaaban dan ianya menandakan kita semakin hampir melalui bulan Ramadhan. Setiap bulan didalam Islam pasti ada kelebihan dan sejarahnya. Syaaban juga dikenali sebagai bulan 'penyimpangan' atau 'berpecah', kerana kaum purba Arab akan berpecah untuk mencari untuk mencari sumber air di padang pasir bagi ketibaan bulan yang seterusnya iaitu bulan Ramadhan yang cuacanya panas. 

Antara peristiwa penting yang berlaku pada bulan Syaaban ialah : 

1. Malam Nisfu Syaaban

Nisfu Syaaban (Nisf bermaksud separuh) peristiwa hari ke-15 dalam bulan Syaaban tahun Hijrah iaitu hari dimana buku catatan amalan kita selama setahun diangkat ke langit dan diganti dengan buku catatan yang baru. Catatan pertama yang akan dicatatkan dibuku yang baru akan bermula sebaik sahaja masuk waktu Maghrib (waktu senja) dan15 Syaaban bermula pada 14 haribulan Syaaban sebaik sahaja masuk waktu Solat Maghrib.


2. Penukaran Arah Kiblat

Pada awal diwajibkan perintah solat kepada umat Islam, Rasulullah SAW dan para sahabat berkiblatkan Baitul Muqaddis. Ini telah menjadi satu kontraversi pada waktu itu. Umat Yahudi telah mendakwa bahawa agama mereka adalah benar dan diredhai oleh Allah SWT kerana umat Islam telah meniru arah ibadat mereka iaitu menghadap Baitul Muqaddis.
Sebahagian ulamak sirah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW menerima wahyu perintah mengadap Baitullah pada 15 Syaaban semasa beliau mengimamkan solat. Sebahagian ulamak mengatakan pada solat Asar, ada yang mengatakan Maghrib dan ada yang meriwayatkan pada solat Isya’. Rasulullah SAW sebagai imam terus mengadap ke Baitullah dan diikuti oleh para sahabat sebagai makmum.


3. Peperangan Zat Al-Riqa

Peristiwa peperangan Zat Al-Riqa tercetus akibat pengkhianatan di kalangan kabilah-kabilah  Nadj terhadap kaum Muslimin. Tragedi ini telah mengorbankan sehingga 70 orang kaum muslimin.Peperangan ini dinamakan Zat Al-Riqa (peperangan yang bertampung) oleh kerana tentera Islam pada ketika itu ramai yang telah pecah tapak kaki ketika dalam perjalanan.
Daripada Abi Musa Al-Asya’ari R.A katanya : “Kami telah keluar bersama-sama Rasulullah S.A.W di satu peperangan kami berenam orang bergilir-gilir menunggang seekor unta”. Tambanya lagi “Kami berjalan hingga pecah tapak kaki kami. Tapakku sendiri pun pecah, kukuku luruh, kami membalut kaki kami dengan kain buruk.  (Riwayat Bukhari dan Muslim)



4. Peperangan Bani Mustaliq (Muraisi’)

Bani Mustaliq ialah salah satu puak dari kaum Yahudi. Mereka telah merancang untuk membunuh Rasulullah SAW dan berita ini disampaikan kepada Rasulullah SAW oleh seorang sahabat dari puak badwi. Peperangan ini adalah turutan dari peperangan bani Quraizah, kaum yahudi yang telah dihalau oleh Rasulullah SAW keluar dari Madhinah. Peristiwa ini terjadi pada bulan Syaaban, 5H. Pasukan kaum muslimin dapat melumpuhkan pasukan Bani Mustaliq.

Sebagian pasukan Bani Mustaliq ada yang ditawan, termasuklah salah seorang puteri pemuka Bani Mustaliq yaitu Barrah, yang nama lengkapnya adalah Barrah binti al-Harris bin Dirar bin Habib bin Aiz bin Malik bin Juzaimah Ibnu al-Mustaliq. Al-Harris bin Dirar, ayah Barrah adalah pemimpin Bani Mustaliq. Barrah telah menjadi tawanan perang milik Sabit bin Qais. Disebabkan Barrah ini seorang perempuan yang cerdik, ia meminta untuk dibebaskan dari Sabit bin Qais, setelah diadakan pembicaraan, Sabit bin Qais meminta tebusan yang mahal.

Tetapi, Barrah waktu itu langsung menemui Rasulullah SAW untuk membicarakan masalah tebusan bagi dirinya. Kemudian Rasulullah SAW pada waktu itu menyetujui membebaskan Barrah dan menebusnya dari Sabit bin Qais dan terus menikahi Barrah dan Rasulullah SAW mengganti nama Barrah menjadi Juwairiyah. Tindakan Rasulullah SAW ini telah memberi banyak faedah kepada umat Islam ketika itu, diantaranya ialah ramai dikalangan Bani Mustaliq yang memeluk Islam dan terpadamnya dendam permusuhan di antara umat Islam dan Bani Mustaliq. Juwairah meninggal dunia pada tahun 56H.


sumber : 1-  Muslim Di Bulan Syaaban
                 2- Wikipedia/Syaaban.
 

Khilaf Tarikh Sebenar Isra' Mi'raj


Assalamualaikum.
Isra' Mi'raj membawa maksud perjalanan Nabi Muhammad saw. dari Makkah ke Bayt Al-Maqdis, kemudian naik ke Sidratul-Muntaha, bahkan melampauinya, serta kembalinya ke Makkah dalam waktu sangat singkat, merupakan tentangan terbesar sesudah Al-Quran diberikan oleh Allah s.w.t kepada umat manusia. Peristiwa ini membuktikan bahawa ilmu dan kemampuan Allah s.w.t  meliputi dan menjangkau, bahkan mengatasi, segala yang terbatas dan tidak terbatas tanpa mengira waktu atau ruang.

Tarikh sebenar berlakunya peristiwa hebat itu masih lagi menjadi perselisihan di kalangan ulama.
Ada yang berpendapat ia berlaku sebelum menjadi Nabi. Ia merupakan pendapat yang janggal. Majoriti ulama berpendapat ia selepas menjadi Nabi. Ia diperkuatkan oleh banyak hadis yang sahih. Seterusnya mereka berbeza pendapat lagi tentang tahun kejadian selepas kebangkitan Nabi sebagai Nabi samada tahun ke 8,10, 12, atau ke 13 Kenabian. Begitu juga bulan samada bulan Safar, Rabi`ul Awal, Rabi`ul Akhir, Rejab, Sya`ban, Ramadhan, Syawal atau Zulhijjah.

Berikut merupakan antara pendapat mengenai tarikh sebenar berlakunya Isra' dan Mi'raj :
  1. Menurut Ibn Sa`ad dan Nawawi serta Ibn Hazim ia berlaku setahun sebelum hijrah. Hijrah berlaku pada akhir Safar dan Awal Rabi`ul Awal. Ini bererti peristiwa ini berlaku pada bulan Safar atau Rabi`ul Awal.

  2. Menurut Ibn Jauzi, 8 bulan sebelum hijrah. Ia bererti pada bulan Rejab.

  3. Menurut Abu al-Rabi` bin Sali, 6 bulan sebelum Hijrah. Ia bererti pada bulan Ramadhan.

  4. Menurut Ibrahim al-Harbi, dan ditarjihkan oleh Ibn al-Munir dalam Syrah al-Sirah oleh Ibn `Abd al-Barr, ia berlaku 11 bulan sebelum hijrah iaitu pada bulan Rabi`ul Akhir.

  5. Menurut Ibn `Abd al-Barr, Ia berlaku 13 bulan sebelum hijrah. Ia bererti pada bulan Safar.

  6. Menurut Ibn Faris, ia berlaku 15 bulan sebelum hijrah. Ia bererti pada bulan Zulhijjah.

  7. Menurut al-Sudiy sebagaimana diriwayatkan oleh Tabari dan Baihaqi dan di pegang oleh al-Waqidi, 17 bulan sebelum Hijrah. Ia bererti ia berlaku pada bulan Syawal.

  8. Menurut Ibn Qutaibah dan dihikayatkan oleh Ibn `Abd al-Barr serta disebut oleh Ibn Sa`ad daripada Ibn Abi Sirah, ia berlaku 18 bulan sebelum hijrah iaitu pada bulan Ramadhan.

  9. Menurut riwayat Ibn `Abd al-Barr dan dipegang oleh Nawawi dalam al-Raudah, ia berlaku pada bulan Rejab.

  10. Menurut riwayat Ibn al-Athir, ia berlaku 3 tahun sebelum hijrah.

  11. Menurut riwayat `Iyad dan dituruti oleh Qurtubi dan Nawawi daripada al-Zuhri, ia berlaku 5 tahun sebelum hijrah. `Iyad berhujah bahawa tiada perselisihan lagi bahawa Khadijah pernah solat bersama baginda saw selepas kefarduan Solat diturunkan. Juga tiada yang berselisih bahawa Khadjah mati sebelum hijrah samada 3 tahun atau 5 tahun sebelum hijrah. Tiada perselisihan juga bahawa kefarduan solat berlaku pada malam Isra’. Namun, hujahnya boleh diteliti kembali kerana menurut al-`Askari Khadijah mati 7 tahun sebelum hijrah. Ada pendapat menyatakan 4 tahun sebelum hijrah. Ibn al-A`rabi menyatakan beliau mati tahun berlakunya hijrah.
Tarikh sebenar peristiwa ini tidak perlu menjadi perselisihan kerana apa yang penting ialah intipati dan hikmah peristiwa Isra' dan Mi'raj berlaku. Salah satu daripadanya ialah dengan pensyariatan solat kepada Nabi Muhammad S.A.W. dan mendapat keringanan solat fardu dari 50 kali menjadi 5 kali sehari semalam, sebuah kewajiban yang harus dikerjakan umatnya sehingga akhir zaman.


sumber : wikipedia
 

Apa itu Fenomena Transit Zuhrah ?


Assalamualaikum.
Transit Zuhrah adalah fenomena astronomi di mana planet Zuhrah melintas di antara Matahari dan Bumi dan dapat dilihat pada permukaan Matahari.  Semasa transit, Planet Zuhrah akan kelihatan seperti satu tompok kecil berwarna hitam melintasi di hadapan permukaan Matahari jika dilihat menerusi penuras Matahari. Transit Zuhrah yang akan berlaku pada 6 Jun 2012 akan dapat dilihat dari semua tempat di Malaysia.  




 

Kenampakan global bagi transit Zuhrah 2012 diilustrasikan dalam peta dunia seperti rajah di bawah.  Keseluruhan transit (kesemua 4 sentuhan) akan dapat dilihat di Pasifik Barat, Asia Timur dan Australia timur.  Kebanyakan tempat di Amerika Utara, Amerika Tengah dan Amerika  Tenggara, Matahari akan terbenam sebelum fenomena berakhir.  Manakala di Eropah, Asia Barat dan Tengah, Afrika Timur dan Australia Barat, transit sudah pun berlaku sebelum Matahari terbit.  Fenomena transit ini langsung tidak akan dapat dilihat di Amerika Selatan dan Afrika Barat.  




Kenampakan Transit Zuhrah



Gambar di bawah menunjukkan waktu mula transit, waktu sentuhan dan waktu transit berakhir mengikut waktu Malaysia. Penduduk di Sabah dapat menyaksikan keseluruhan fasa Transit Zuhrah berlaku kerana Matahari telah terbit sebelum Transit bermula manakala penduduk di Semenanjung dan Sarawak dapat menyaksikan Transit Zuhrah apabila Matahari terbit.  



Waktu Transit Berlaku


AWAS! Melihat Matahari secara terus tanpa penuras yang selamat boleh menyebabkan kerosakan mata dan buta.

Terdapat empat kaedah yang selamat untuk melihat transit ini:
1. Kaca mata “gerhana”
2. Teleskop atau binokular yang direka khas untuk Matahari
3. Teleskop, kamera dan binokular yang dilengkapi dengan penuras suria yang selamat
4. Kaedah pantulan terus melalui teleskop, binokular atau cermin
 
Imej yang diperolehi dari teleskop, binokular atau cermin dipancarkan ke dinding ataupun kertas kadbod dan kita HANYA melihat imej yang terpancar sahaja.


Kejadian ini  merupakan salah satu daripada fenomena alam yang berlaku disebabkan peredaran matahari dan bulan sebagaimana telah dicatatkan didalam Al-Quran didalam surah Ar-Rad ayat 2 : 

Allah jualah yang menjadikan langit terangkat tinggi dengan tiada bertiang sebagaimana yang kamu melihatnya, kemudian Ia bersemayam di atas `Arasy dan Ia memudahkan matahari dan bulan (untuk faedah makhluk-makhlukNya) tiap-tiap satu dari keduanya beredar untuk suatu masa yang telah ditetapkan. Allah jualah yang mentadbirkan segala urusan Ia menerangkan tanda-tanda kekuasaanNya satu persatu, supaya kamu yakin kepada pertemuan Tuhan kamu (untuk menerima balasan).

 

Istilah Lain Untuk Khinzir


Assalamualaikum..
Khinzir atau babi ialah sejenis haiwan mamalia ungulata yang bermancung panjang dan berhidung leper. Babi adalah omnivor, yang bererti mereka memakan daging dan tumbuh-tumbuhan. Selain itu, babi dianggap salah satu mamalia yang paling pintar, dan dilaporkan lebih pintar dan mudah dipelihara dibandingkan dengan anjing dan kucing. 

Mungkin ramai umat Islam tidak tahu bahawa label bertulis 'This product contain substance from porcine. Sebenarnya bermaksud 'Produk ini mengandungi bahan daripada babi. Selain itu, antara label yang kerap digunakan adalah 'The source of gelatin capsule is porcine' yang bermaksud 'Kapsul dari gelatin babi.

Berikut antara istilah sains yang digunakan dalam produk yang mengandungi unsur babi:

1. Pork : Istilah yang digunakan untuk daging babi di dalam masakan.

2. Swine : Istilah yang digunakan untuk keseluruhan kumpulan spesis babi.

3. Hog : Istilah untuk babi dewasa, berat melebihi 50 kg.

4. Boar : Babi liar.

5. Lard : Lemak babi yang digunakan bagi membuat minyak masak dan sabun.

6. Bacon : Daging haiwan yang disalai, termasuk babi.

7. Ham : Daging pada bahagian paha babi.

8. Sow : Istilah untuk babi betina dewasa (jarang digunakan).

9. Sow Milk : Susu babi.

10.Pig :Istilah umum untuk seekor babi atau sebenarnya bermaksud babi muda, berat kurang daripada 50 kg.

11.Porcine : Istilah yang digunakan untuk sesuatu yang berkaitan atau berasal daripada babi. Porcine sering digunakan di dalam bidang perubatan untuk menyatakan sumber yang berasal daripada babi.

Banyak  istilah lain bagi khinzir ini, jadi kita perlu lebih berhati-hati sebelum beli sesuatu benda makanan atau kelengkapan. Semak semula bahan-bahan yang digunakan sebelum membeli untuk lebih kepastian sebab kadang-kadang ada juga logo jakim yang tidak sah dan tulen.

Logo Halal Jakim


Logo Halal JAKIM:

a) Bintang berbucu lapan di tengah-tengah bulatan.

b) Perkataan Arab – “حلال” di tengah bintang.

c) Diikuti tulisan rumi “HALAL”

d) Bulatan logo tertulis perkataan “Malaysia” dalam tulisan Rumi dan "ماليزيا"   dalam perkataan Arab.

e) Dua bintang kecil berbucu lima diletakkan bagi memisahkan tulisan rumi dan perkataan Arab tersebut.


Katakanlah (wahai Muhammad): Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai atau darah yang mengalir atau daging babi kerana sesungguhnya ia adalah kotor atau sesuatu yang dilakukan secara fasik, iaitu binatang yang disembelih atas nama yang lain dari Allah. Kemudian sesiapa yang terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang dia tidak mengingininya dan tidak melampaui batas, maka sesungguhnya Tuhan mu Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. 
(Terjemahan Al-Quran Surah :6.Al-An'am Ayat 145)
  
sumber : Jakim Dan Facebook